Ikhlas memang sangat mudah untuk diucapkan tapi sangat sukar untuk
dilalui. Kerana itu, ia memerlukan satu proses yang panjang sehingga
dapat membimbing kita pada sebuah keikhlasan.
Ketika cinta terhalang dengan restu orang tua, ketidakmampuan dan ketika
harus menerima kenyataan orang yang di sayangi berkahwin dengan orang
lain. Ketika rancangan hanya tinggal sebuah rancangan yang tidak akan
wujud, maka adalah tidak mudah untuk menerima kenyataan itu, bahkan
mungkin sangat sukar untuk kita menerimanya. Hari demi hari dilalui
dengan air mata dan kesedihan.
Di kesunyian dan keheningan malam, kita menangis di hadapanNYA bukan
untuk menyesali apa yang terjadi, tetapi menyesal kenapa kita belum
dapat menjadi hambaNYA yang ikhlas menerima kenyataan ini.
Tetapi itulah hidup. Adakalanya kita harus mengalami sesuatu yang pahit. Apa-apa pun yang terjadi itulah yang terbaik buat kita meskipun kita sedih, kecewa dan merasa tidak adil.
Kita hanya berusaha untuk redha dengan semua ketentuan yang telah
digariskan oleh ALLAH. Menerima apa-apa pun yang terjadi bukan bererti
tidak berusaha untuk meraih sesuatu yang lebih baik. Tetapi berusaha
untuk ikhlas dan menyerahkan semua ini kepadaNYA.
Ini akan menenangkan hati yang gelisah. Kerana disebalik kejadian ini
pasti ada hikmahnya dan Insyaallah ia akan membimbing kita untuk menjadi
seseorang yang kuat, sabar dan ikhlas dalam menjalani hidup.
Ketika kita ikhlas dan bersyukur dengan semua yang diberikan, Allah akan
memberikan ketenangan yang luar biasa pada hati kita. Sesungguhnya
sesudah kesulitan pasti ada kemudahan dan DIA akan memberikan jalan yang
terbaik. Yakinlah bahawa rencana Allah itu lebih baik.
Buat sahabat yang sedang bersedih, kuatkanlah semangat, kerana Allah
sayang kepada hambaNYA yang kuat dalam menjalani ujian dariNYA. Kerana
sebenarnya begitu banyak anugerah dan nikmat yang diberikan olehNYA yang
harus kita syukuri.
Selalulah berprasangka baik kepadaNYA dan bersyukur Allah masih
memberikan ujian kepada kita. Itu bererti kita termasuk dari kalangan
orang-orang yang masih diperhatikan olehNYA. Allah selalu memberikan
sesuatu yang kita perlukan, bukan sesuatu yang kita inginkan. Oleh itu,
DIA lebih tahu mana yang terbaik buat hambaNYA.
Ikhlas, sabar dan bersyukur adalah 3 kunci kehidupan. Tidak mudah tetapi
sangat sukar. Tetapi tiada yang tidak mungkin jika kita mahu berusaha
dan mencuba untuk menjalaninya dalam kehidupan kita.
Terima Kasih Ya ALLAH untuk kasih sayang, kekuatan dan semua yang sudah Engkau berikan kepada kami. Berikan petunjuk dan bimbinganMu kepada kami seperti yang telah Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang Engkau sayangi.
Izinkanlah kami untuk untuk lebih dekat dan mencintaiMu.
Sumber:akuislam.com

No comments:
Post a Comment