Dua bilah kayu disatukan dengan
paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa?
Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua
hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami
dan isteri,
akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris. Bukan
tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH,
perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf.
Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar.
Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah
s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi
cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang
bercinta, siapakah yang lebih cinta
pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih
cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana
hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu
agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal,
pasti cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen
boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada
“virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti
hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika
demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling
bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya
saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon
takut dikotorkan oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan, pandangannya
sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku
putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka
terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah
dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam
diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar.
Perlahan-lahan, jarak
hati semakin jauh.
Cinta semakin rapuh.
Ada pula isteri yang ego. Heroin
sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara.
Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak
dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan.
Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang
sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah.
Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu
dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi
diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan
saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah
masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego siisteri terpendam. Mungkin
kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya
dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang
dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur...hasil, cuaca rumah tangga menjadi
muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan,
kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina
dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih
sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti
suami ketika pulang dari bekerja.
Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di
rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan
menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih,
mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa
semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula
rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi
musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi
pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau, senda
cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang
telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur
ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi…
kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui
hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi
jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah
jadi hambar.
Ada juga pasangan
yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata
benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada
mu, kata suami. Dan ini pula cincin
berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing
bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah
cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit
datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan
ada selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan
iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di
antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak
ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi
hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh menipu
orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya
terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah.
Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba
berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka
tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan.
Allah
membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya: “Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumah
tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama
ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan
zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang
menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa
yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus
ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati
sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran
dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh
kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al
Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu
diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang
dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa
bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu
yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada
orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila terasa bersalah, jangan malu
mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang
menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf
kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi.
Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan
martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf.
Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita
yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah
lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika
itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak
kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri.
Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut
dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang
takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah
terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri,
apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam
gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah
kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk
berkongsi segala. Perkahwinan
satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya?
Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah
bumbung yang sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya
menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri.
Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat
yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua,
tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi
satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk
dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman,
takbur akan luntur, cinta akan subur!

No comments:
Post a Comment